Sunday, November 28, 2010

PEMULIHARAAN ALAM SEKITAR

Mengikut kajian, umur dunia ini dianggarkan sudah hampir 4.5 bilion tahun. dalam masa yang begitu lama, manusia hanya wujud tidak sampai satu peratus(1%) pun dari umur dunia ini. Akan tetapi kerosakan dan kemusnahan yang dilakukan oleh tangan-tangan manusia yang tidak bertanggungjawab dan rakus, terutama sejak kebelakangan ini sudah terlalu banyak sehingga merubah keadaan dunia dan masyarakat dunia mula bimbang dengan perubahan suhu dunia. Antaranya cuaca menjadi semakin panas, banyak gas beracun dilepaskan ke udara, perubahan cuaca yang mendadak dengan udara kering, panas, hujan, banyak hutan yang terbakar, berlakunya jerebu, berlakunya banjir, pencemaran sungai, tanah runtuh, dan sebagainya.

Kita harus sedar bahawa kehidupan kita tidak terbatas hanya kepada hubungan sesama manusia, tetapi juga hubungan kita dengan alam persekitaran. Kesejahteraan yang kita nikmati adalah hasil daripada kelangsungan kehidupan yang mesra antara manusia dengan alam sekitar.

Justeru dalam mengejar kemajuan dan pembangunan, janganlah kita cenderung untuk membangunkan aspek fizikal secara tamak haloba dan rakus, tanpa mengambil kira faktor-faktor keselamatan, pencemaran atau taksiran kerosakan terhadap alam sekitar. Akibatnya keseimbangan isi alam tidak dapat dikekalkan, maka ia mengundang bencana dan malapetaka kepada manusia. Kerana itulah, kita sebagai khalifah Allah adalah bertanggungjawab menjaga dan memelihara alam ini, supaya kesejahteraan kehidupan kita dan alam sekitar ini dapat dipertahankan serta diwarisi untuk generasi akan datang.

Alam sekitar yang begitu indah yang dikurniakan oleh Allah s.w.t, ini perlu dipelihara dan ditadbir melalui kaedah atau pendekatan yang seimbang lagi menyeluruh. Pembangunan modal insan yang berteraskan kepada kehidupan nilai-nilai murni agama, dipercayai dapat membantu memulihara alam sekitar ini dari terus dirosak dan dimusnahkan. Kita semua mestilah mengambil peranan untuk sama-sama memulihara dan menjaga alam sekitar yang berada disekeliling kita, baik kita pegawai kerajaan, sebagai petani, peladang, pengusaha kilang, pengusaha kedai makan, orang awam dan sesiapa sahaja agar hasrat murni ini dapat dicapai.

Bagi menjamin kehidupan yang selesa dan bahagia kita mestilah menghargai dan memelihara setiap kurniaan Allah s.w.t., janganlah kita menjadi perosak kepada alam ini. Udara yang bersih, air yang jernih, tumbuhan yang menghijau adalah merupakan bukti kebesaran dan ciptaan Allah yang menjadi pelengkap kepada kehidupan manusia.

0 ulasan:

Kategori...!!!

Pengikut...!!!

Tentang Blog Ini...!!!

Blog ini menceritakan apa-apa sahaja yang bermanfaat tidak kira tentang agama, hal ehwal semasa, pendidikan mahupun teknologi.

  © Blogger template 'External' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP