Wednesday, December 1, 2010

MASALAH BERKAITAN WUDUK

SIRI 1

Khas untuk anak-anak muridku!
Di sini saya paparkan masalah yang sering dihadapi oleh murid-murid.Sebagai penjelasan,saya berikan jawapan sebagai panduan.

Soalan :Adakah batal air sembahyang kita sekiranya tersentuh kulit dengan orang non-muslim (sama jantina)..

Jawapan:Tidak batal kerana mereka tidak najis. Akidah mereka saja yang dianggap salah. Yang berbeza hanyalah aurat dimana walaupun sama jantina kita perlu memelihara aurat kita dari mereka.

Soalan :Budak yang belum baligh boleh tak pegang quran tanpa wuduk

Jawapan :Budak yang belum baligh tidak dita'lif (beban)kan dengan dosa. Maka tidak ada dosa terhadap mereka. Walaubagaimanapun adalah menjadai tanggungjawab ibubapa untuk mendidik anak tersebut untuk menghormati Al-Quran sesuai dengan martabatnya sebagai kalam Allah s.w.t.. Begitu juga ulamak dahulu telah mengasingkan juz Amma untuk dibukukan menjadi mukaddam untuk memudahkan anak-anak belajar Al-Quran tanpa perlu membawa Al-Quran yang sebenar. Pun begitu orang tua dahulu amat menitikberatkan kemuliaan Mukaddam untuk melatih anak-anak untuk menghormati Al-Quran.

Soalan :Blehkan saya menciuman jenazah buat kali terakhir?

Jawapan:Sesiapapun tidak dihalang dari mencium jenazah. Tidak timbul persoalan wudhu jenazah terbatal kerana apabila seorang anak adam itu meninggal maka hilanglah tanggungjawabnya. Walaubagaimanapun, sekiranya yang mencium itu bukan mahramnya, maka wudhu pencium itu terbatal.


Soalan:
1.Apa hukumnya memegang Al-Quran dengan tanpa wuduk?
2.Bagaimana pula dengan Tafsir Al-Quran, adakah perlu berwuduk?

Jawapan:

1. Hukum memegang atau menyentuh al-Quran tanpa wuduk adalah haram kecuali dalam keadaan dharurat seperti menyelamatkannya daripada kebakaran dsb.
2. Yang dimaksudkan dengan al-Qur'an ialah mashaf al-Qur'an itu sendiri. oleh itu, tafsir al-Qur'an boleh dipegang tanpa wudhuk jika kandungan tafsirnya lebih banyak daripada ayat-ayat al-Quran di dalamnya.

Soalan:
Pakcik saya (adik kandung ayah saya) telah berkahwin, adakah batal wuduk saya jika berjabat tangan dengan isteri bapa saudara saya itu.

Begitu juga adakah batal wuduk isteri saya jika dia berjabat tangan dengan anak-anak abang saya yant telah akil baligh. Dan sebaliknya batalkah wuduk saya jika saya berjabat tangan dengan anak-anak perempuan saudara kandung kepada isteri saya yang telah akil baligh. Maksud saya anak-anak saudara perempuan isteri saya.

Jawapan:

1. Batal wudhuk jika anda berjabat tangan dengan isteri bapa saudara anda itu
2. Begitu juga batal wudhuk jika isteri anda berjabat tangan dengan anak-anak abang anda (anak saudara) yang telah baligh demikian juga sebaliknya.

Soalan:
Adakah terbatal air sembahyang sekiranya kita telah mengambil wuduk, dan selepas itu kita minum minuman selain daripada air sejuk. Adakah perlu kita mengambil air sembahyang sekali agi atau hanya perlu berkumur sahaja.

Jawapan:
Makan atau minum tidak membatalkan wuduk. Apabila hendak solat sedangkan wudhuk masih ada tetapi telah makan atau minum sesuatu maka perlulah membersihkan mulut terlebih dahulu dengan bersugi dan berkumur supaya sisa makanan atau perisanya dapat dihilangkan.

Soalan:
Adakah batal air sembahyang seseorang itu jika dia (secara tidak sengaja) terlelap sebentar (dalam keadaan berbaring); tetapi apabila terjaga, dia yakin bahawa tidak keluar angin semasa dia terlelap?

Jawapan:
Antara perkara yang membatalkan wudhu' itu ialah apabila seseorang itu tertidur dengan keadaan punggungnya tidak tetap iaitu tidur mengiring atau berdiri atau terlentang. Apabila terjaga daripada tidur dalam keadaan demikian maka perlu berwudhu' semula jika hendak solat walaupun dia yakin tiada keluar angin semasa lelap itu.

Soalan:
Adakah batal wuduk jika terpijak/terkena tahi cicak? Perlukah mengambil semula air sembahyang?

Jawapan:
Terpijak atau terkena tahi cicak tidak membatalkan wuduk begitu juga jika terkena najis yang lain. Ia hanya perlu dibersihkan mengikut kaedah yang telah ditetapkan oleh syarak.

Soalan:
1. Apakah Aurat Wanita ketika mengambil wuduk?
2.Adakah sah wuduk jika air paip termasuk ke dlm air tadahan ditangan untuk disapukan kemuka?

Jawapan:
1. Aurat wanita ketika mengambil wuduk adalah sama dengan keadaan biasa iaitu apabila ada lelaki ajnabi di situ maka auratnya adalah seluruh tubuh kecuali muka dan telapak tangan. Oleh itu, apabila wanita hendak berwuduk maka hendaklah dicari tempat yang terlindung daripada pandangan mereka supaya terpelihara aurat.

2. Air paip seperti yang biasa digunakan pada hari ini adalah air mutlak yang suci lagi menyucikan. Oleh itu ia sah digunakan untuk berwuduk sama ada yang ditadah dalam bekas yang isipadunya melebihi ukuran 2 kolah atau ditadah terus oleh tangan kita untuk menyapu anggota-anggota wudhuk.

Soalan :
Seseorang yang telah putus kakinya (perenggan lutut) dan menggunakan kaki palsu, adakah kaki palsu tersebut dianggap sebagai anggota wuduk?

Jawapan :
Kaki palsu tidak termasuk sebagai anggota wudhuk dan tidak wajib dibasuh memadai dengan meratakan air dibahagian anggota wudhuk yang masih ada.

Soalan :
Apakah hukum seseorang lelaki yang berwudhuk menyentuh seorang gadis yang belum baligh?

Jawapan :
Tidak batal wudhuk seseorang lelaki yang menyentuh seseorang gadis yang belum baligh sekalipun bukan muhrim tetapi jika ia mempunyai keinginan (nafsu) terhadap gadis (bukan muhrim) tersebut maka batal wudhuknya.

Soalan:
Jika seseorg itu baru lepas mandi, tetapi tidak membasahkan kepala,adakah perlu dia mengambil wudhu utk solat?

Jawapan:
1. Menyapu sedikit air di bahagian kepala adalah salah satu daripada enam fardu wudhu'. Oleh itu orang yang mandi tanpa membasahkan kepala mestilah mengambil wudhu' dengan sempurna apabila dia mahu mendirikan solat.

Soalan:
Sahkah seseorang lelaki atau perempuan mengambil air sembahyang dengan hanya memakai kain tuala bagi lelaki diikat dipinggang dan perempuan diikat di dada.

Jawapan:
Hukum mengambil wudhu' dengan keadaan mendedahkan aurat adalah makruh tetapi wudhuk sah jika sempurna syarat dan rukun-rukunnya.

Soalan:
Kaki merupakan sebahagian anggota wuduk,sekiranya kaki cedera dan berbalut,bolehkah kita mengambil air sembahyang dengan menyapu di atas kain sebagai syarat? Sekiranya tidak begaimana cara mengambil wuduk menggunakan air.

Jawapan:
Untuk menyelesaikan masalah yang saudari maksudkan berikut ialah cara-cara mengambil wudhuk:
Mengambil wudhuk seperti biasa, kemudian membasuh kaki yang boleh kena air dan disapu di atas pembalutnya yang tidak boleh kena air, seterusnya bertayammum selepas membasuh kaki atau bertayammum sebelum membasuh kaki bagi menggantikan tempat yang tidak boleh kena air.Solat tidak wajib diqada',jika pembalut itu tidak melebihi had yang diperlukan.

3 ulasan:

Mukh Leazs April 12, 2015 at 9:21 AM  

Salam ustad...nak tanya...sah tak berwuduk dgn selain drpd air mutlak? Cnth...air sirap...syukran

Nur atikah July 8, 2019 at 1:40 AM  

Saalam ustaz.. Saya nak tanya .. Batal ke wudhuk saya sekiranya saya pegang barang yang sudah terkena air kencing dan tahi tikus ? Mohon penjelasan dr ustaz. Terima kasih.

Sweetcandy May 10, 2020 at 3:55 AM  

Salam ustaz..adakh batal wuduk jika menjilat bibir.?

Kategori...!!!

Pengikut...!!!

Tentang Blog Ini...!!!

Blog ini menceritakan apa-apa sahaja yang bermanfaat tidak kira tentang agama, hal ehwal semasa, pendidikan mahupun teknologi.

  © Blogger template 'External' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP