Sunday, November 28, 2010

FATWA-FATWA MAJLIS MUFTI

Apa Itu Fatwa?

Dari Segi Bahasa

Keputusan/ penjelasan/ jawapan terhadap sesuatu perkara yang dimusykilkan.

Dari Segi Istilah

Memberikan penjelasan Hukum Syarak bagi sesuatu masalah sebagai jawapan kepada sesiapa yang bertanya, baik secara individu mahupun secara berjemaah.

Di dalam Akta Pentadbiran Undang-Undang Islam (Wilayah-Wilayah Persekutuan) 1993 [Akta 505], peruntukan mengenai fatwa dijelaskan di bawah Seksyen 34 iaitu:


1. Maksud Fatwa iaitu pendapat atas apa-apa persoalan yang belum diselesaikan atau yang menimbulkan pertikaian mengenai atau berhubung dengan Hukum Syarak;

Hukum Wanita Menyerupai Lelaki (Pengkid)

Keputusan

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-83 yang bersidang pada 22 - 24 Oktober 2008 telah membincangkan Hukum Wanita Menyerupai Lelaki (Pengkid). Muzakarah telah memutuskan bahawa pengkid, iaitu wanita yang berpenampilan dan mempunyai gerak laku serta naluri seksual seperti lelaki adalah haram di sisi agama. Muzakarah menggesa agar masyarakat Islam supaya memberi pendidikan dan tunjuk ajar yang sebaik-baiknya kepada anak-anak gadis khususnya dalam aspek berpakaian, perlakuan dan penampilan supaya gejala seumpama ini dapat dielakkan kerana ia adalah berlawanan dengan fitrah dan sunnatullah.


Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Pelancong Bukan Islam Memasuki Masjid Dan Ruang Solat Utama Di Dalam Masjid. Muzakarah telah memutuskan bahawa pelancong bukan Islam diharuskan memasuki masjid dan ruang solat dengan syarat mendapat keizinan pihak pengurusan masjid dan perlakuan serta tingkah laku mereka tidak mencemarkan kesucian masjid dan sentiasa terkawal dan beradab. Walaubagaimanapun, perbuatan berdoa atau bertafakur oleh pelancong bukan Islam mengikut cara agama mereka dalam keadaan yang boleh menimbulkan fitnah adalah dilarang.

Status Agama Anak Bawah Umur Selepas Salah Seorang Pasangan Memeluk Islam

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-87 yang bersidang pada 23 - 25 Jun 2009 telah membincangkan Status Agama Anak Bawah Umur Selepas Salah Seorang Pasangan Memeluk Islam. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Apabila salah seorang ibu atau bapa memeluk Islam, agama anak dibawah umur juga adalah Islam dan penjagaan anak hendaklah diletakkan di bawah ibu atau bapa yang beragama Islam.

2. Oleh yang demikian apabila salah seorang pasangan (ibu atau bapa) memeluk agama Islam, status agama bagi anak bawah umur pasangan adalah secara langsung beragama Islam.

3. Perkara 12(4) Perlembagaan Persekutuan yang memperuntukkan bahawa agama seseorang yang di bawah umur 18 tahun hendaklah ditetapkan oleh ibu atau bapa penjaganya tidak perlu dipinda.

Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-71 yang bersidang pada 22-24 Nov 2005 telah membincangkan Hukum Orang Islam Menyambut Perayaan Valentine's Day. Muzakarah berpandangan bahawa ajaran Islam amat mengutamakan kasih sayang dan tidak ada hari tertentu di dalam Islam bagi meraikannya.

Oleh itu, Muzakarah bersetuju memutuskan bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam. Roh perayaan tersebut mempunyai unsur-unsur Kristian dan amalannya yang bercampur dengan perbuatan maksiat adalah bercanggah dan dilarang oleh Islam.


Hukum Menggugurkan Kandungan Mangsa Yang Dirogol

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-52 yang bersidang pada 1 Julai 2002 telah membincangkan Hukum Menggugurkan Kandungan Mangsa Yang Dirogol. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1. Haram menggugurkan kandungan janin yang telah berumur lebih 120 hari kerana pengguguran itu dianggap satu jenayah bunuh ke atas janin yang telah ditiupkan roh kecuali pengguguran itu untuk menyelamatkan nyawa ibu.

2. Pengguguran janin yang berumur sebelum 120 hari adalah harus sekiranya janin itu cacat dan berpenyakit yang teruk yang boleh membahayakan nyawa ibu.


Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-88 yang bersidang pada 2 Oktober 2009 telah membincangkan Hukum Pemakaian Inai Bercorak Mengikut Syarak. Muzakarah telah memutuskan bahawa:

1.Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki adalah diharuskan bagi wanita sama ada yang telah berkahwin atau belum selagi mana tidak menimbulkan fitnah.

2.Walau bagaimanapun, kadar pemakaian inai di kedua-dua tangan dan kaki adalah terhad sehingga pergelangan tangan dan buku lali sahaja, manakala warna yang digunakan tidak bersifat kekal seperti tatu dan mengandungi sebarang unsur yang meragukan. Mengenai corak atau ukiran yang digunakan pula, corak atau ukiran daun dan tumbuh-tumbuhan adalah dibenarkan, manakala corak-corak haiwan, lambang dewa-dewa atau ajaran atau apa jua gambaran yang bertentangan dengan syarak adalah dilarang.

3.Pemakaian inai pada kedua tangan dan kaki bagi lelaki adalah tidak diharuskan kecuali pada sebilangan jari bagi pengantin semasa majlis perkahwinan dan juga untuk tujuan perubatan.


Hukum Penggunaan Bulu Binatang Yang Halal Dimakan Sebagai Ramuan Makanan

Keputusan:

Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia Kali Ke-90 yang bersidang pada 1 Mac 2010 telah membincangkan Hukum Penggunaan Bulu Binatang Yang Halal Dimakan Sebagai Ramuan Makanan. Muzakarah telah memutuskan bahawa penggunaan vitamin D3 yang terhasil daripada bulu binatang yang halal dimakan adalah harus sama ada ia diambil semasa hidup atau selepas disembelih mengikut hukum syarak.

0 ulasan:

Kategori...!!!

Pengikut...!!!

Tentang Blog Ini...!!!

Blog ini menceritakan apa-apa sahaja yang bermanfaat tidak kira tentang agama, hal ehwal semasa, pendidikan mahupun teknologi.

  © Blogger template 'External' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP