HUKUM BERTEPUK TANGAN
Hukum tepuk tangan
http://akhisalman.blogspot.com
Pengarang kitab حفل الزفاف في الفقه الإسلامي berkata:
Sesungguhnya tepuk tangan bila dilihat dari segi hakikatnya adalah suatu perbuatan manusia yang biasa. Hukumnya berdasarkan faktor kepada perbuatan tepuk tangan itu dilakukan. Sesiapa yang bertepuk tangan kerana untuk memberi peringatan maka perkara tersebut adalah harus.
Pengarang ini merujuk kepada sebuah buku dalam mazhab Syafie iaitu kitab حاشية الشبراملسي . Bila dilihat dalam kitab tersebut ada dinukilkan dari kitan فتح الجواد karangan Imam Ibnu Hajar Haitami:
“Diharuskan tepuk tangan dengan kedua tapak tangan sekalipun ditujuan untuk bermain-main, sekalipun ia dianggap sebagai bentuk nyanyian.”
TEPUK TANGAN KETIKA MENDENDANGKAN LAGU
Ulama berselisih pendapat berkenaan dengan masalah ini:
PENDAPAT PERTAMA: Haram tepuk tangan ketika mendendangkan lagu. Ini adalah pendapat Mazhab Hanafi dan sebahgian ulama Syafie.
PENDAPAT KEDUA: Makruh tepuk tangan ketika mendendangkan lagu. Ini adalah pendapat utama dalam mazhab Syafie dan pendapat mazhab Maliki.
DALIL PENDAPAT PERTAMA:
1. Firman Allah swt:
وما كان صلاتهم عند البيت إلا مكاء وتصدية
“ Cara ibadah dan solat orang-orang musyrikin di sekeliling ka’bah hanyalah dengan bersiul dan bertepuk tangan.” (35 : al-Anfal)
Bentuk pengambilan dalil:: Bertepuk tangan adalah dari perbuatan orang-orang musyrik. Orang bertepuk tangan meniru perbuatan orang-orang musyrikin.
2. Bagi orang lelaki dilarang kerana ia menyerupai perbuatan wanita dalam solat. Nabi saw bersabda:
إنما التصفيق للنساء
“Tepuk tangan dalam solat (untuk menegur imam) hanyalah untuk perempuan.” (Hr Bukhari dan Muslim)
JAWAPAN KEPADA TERHADAP DALIL
Jawapan terhadap pendalilan yang pertama adalah: Ayat ini menunjukkan perngharaman dan larangan beribadah dengan bertepuk tangan. Ia bukan pengharaman tepuk tangan di luar ibadah.
Jawapan kepada pendalilan yang kedua adalah: Hadis ini mengkhusukan tepuk tangan untuk wanita dalam solat sahaja.
KESIMPULAN
Hukum bertepuk tangan adalah mengikut kepada sebab bertepuk tangan. Ianya ada 4 seperti berikut:
1. TEPUK TANGAN DALAM SOLAT BAGI WANITA UNTUK PERINGATAN: Para ulama bersepakat ianya disyariatkan.
2. TEPUK TANGAN UNTUK IBADAT SEPERTI DALAM SOLAT, ZIKIR DAN TAWAF: Ianya dilarang berdasarkan ayat Quran yang telah lepas.
3. TEPUK TANGAN UNTUK NYANYIAN: ada yang mengharamkan dan ada yang memakruhkan. Apa yang difatwakan Dr Yusuf Qardawi dalam kitab فقه اللهو والترفيه adalah harus hukumnya kerana tidak ada dalil yang melarangnya.
4. TEPUK TANGAN UNTUK MEMBERI SEMANGAT ATAU RASA KAGUM: Ini juga dibenarkan kerana ia diperlukan. Pengarang kitab الموسوعة الفقهية الكويتية mengatakan:
“ Tepuk tangan di luar solat dan khutbah adalah diharuskan sekiranya untuk keperluan yang dibenarkan syara’ seperti minta izin untuk masuk, memberi peringatan, mengelokkan persembahan nasyid atau wanita yang bermain dengan kanak-kanak.”
Rujukan:
1.Fiqhul Lahwi wat Tarwih oleh Dr Yusuf Al-Qaradawi
2.Haflu Zafaf fil Fiqh Islami oleh Rafiq Abd Aziz As-Sobbagh
3.Mausu’ah Fiqhiyyah oleh Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama, Kuwait
0 ulasan:
Post a Comment