Thursday, December 31, 2009

SOLAT SUNAT GERHANA BULAN / MATAHARI

SOLAT GERHANA (KUSUF & KHUSUF)
Oleh Mohd Yaakub bin Mohd Yunus
(Dinukil dari buku saya bertajuk Panduan Solat Sunat Cara Nabi S.A.W.)

Gerhana bulan adalah apabila bumi melindungi bulan dari cahaya matahari sehingga menyebabkan bulan kelihatan gelap. Gerhana matahari pula adalah apabila bulan melindungi bumi dari matahari sehingga bumi menjadi gelap seketika kerana tidak menerima cahaya dari matahari. Terdapat juga sesetengah pihak tatkala apabila mengalami peristiwa gerhana bulan mahupun matahari, namun mereka hanya melihat kejadian ini sebagai satu perkara yang luar biasa. Tidak kurang pula yang mengaitkannya dengan perkara-perkara mistik. Namun kejadian gerhana ini hanyalah merupakan di antara tanda-tanda kebesaran Allah Subhanahu wa Ta’ala yang mentadbir seluruh alam. Apabila terjadi gerhana bulan mahupun matahari maka disunnahkan bagi kita untuk mengerjakan solat Solat Sunat Gerhana Bulan (Kusuf) dan Gerhana Matahari (Khusuf)

HUKUM SOLAT GERHANA


Para ulamak telah sepakat bahawa disyariatkan mengerjakan solat sebanyak dua rakaat sekiranya terjadi gerhana.

Menurut Ibn ‘Umar radhiallahu’ anh, Nabi s.a.w bersabda:


إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ لاَ يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ وَلَكِنَّهُمَا آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ فَإِذَا رَأَيْتُمُوهَا فَصَلُّوا


Maksudnya:
Sesungguhnya matahari dan bulan tidak mengalami gerhana kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kehidupannya (kelahirannya). Tetapi, kedua-duanya adalah dua tanda antara tanda-tanda (kebesaran) Allah. Apabila kamu semua melihat kedua-duanya (mengalami gerhana) maka dirikanlah solat. – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1042.

Namun, para ulamak berbeza pendapat tentang hukum perlaksanaan solat Gerhana tersebut. Syeikh Muhammad bin ‘Umar bin Salim Bazmul pula menguatkan pendapat bahawa solat Gerhana ini hukumnya sunat mu’akkadah bersandarkan hadis berikut:



خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ... ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ فَخَطَبَ النَّاسَ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ ثُمَّ قَالَ إِنَّ الشَّمْسَ وَالْقَمَرَ آيَتَانِ مِنْ آيَاتِ اللَّهِ لاَ يَخْسِفَانِ لِمَوْتِ أَحَدٍ وَلاَ لِحَيَاتِهِ فَإِذَا رَأَيْتُمْ ذَلِكَ فَادْعُوا اللَّهَ وَكَبِّرُوا وَصَلُّوا وَتَصَدَّقُوا ثُمَّ قَالَ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ وَاللَّهِ مَا مِنْ أَحَدٍ أَغْيَرُ مِنْ اللَّهِ أَنْ يَزْنِيَ عَبْدُهُ أَوْ تَزْنِيَ أَمَتُهُ يَا أُمَّةَ مُحَمَّدٍ وَاللَّهِ لَوْ تَعْلَمُونَ مَا أَعْلَمُ لَضَحِكْتُمْ قَلِيلًا وَلبَكَيْتُمْ كَثِيرًا

Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lalu Rasulullah s.a.w mengimami solat orang ramai… Setelah baginda selesai solat, matahari telah kelihatan. Seterusnya baginda berkhutbah di hadapan manusia dengan memuji Allah serta menyanjung-Nya, kemudian bersabda:
Sesungguhnya matahari dan bulan tidak mengalami gerhana kerana kematian seseorang dan tidak pula kerana kehidupannya (kelahirannya). Tetapi, kedua-duanya adalah dua tanda antara tanda-tanda (kebesaran) Allah. Apabila kamu semua melihat hal itu itu maka berdoalah kepada Allah, bertakbir, bersolat dan bersedekah.
Kemudian baginda bersabda: Wahai umat Muhammad! Demi Allah, tidak ada seorangpun yang lebih cemburu daripada Allah apabila hamba-Nya sama ada lelaki atau wanita melakukan perzinaan. Wahai umat Muhammad! Sekiranya kamu semua mengetahui apa yang aku ketahui pasti kamu semua akan tertawa sedikit dan lebih banyak menangis. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.

Dapat dikatakan di sini bahawa dalil yang terkandung di dalam hadis merupakan perintah agar mengerjakan solat itu berserta perintah agar bertakbir, berdoa dan bersedekah. Namun, tidak ada seorangpun yang mewajibkan bersedekah, bertakbir dan berdoa ketika terjadi gerhana. Oleh itu, menurut kesepakatan ijmak bahawa perintah tersebut bersifat sunat. – Rujuk Bughyat al-Mutatowwi Fi Solah al-Tatowwu' karya Syeikh Muhammad bin ‘Umar Salim Bazmul, edisi terjemahan bertajuk Meneladani Solat-Solat Sunnah Rasulullah s.a.w, Pustaka Imam al-Syafie, Bogor (2005), ms. 140-141.

Tetapi, tanggapan ulamak berijmak (sepakat) bahawa solat Gerhana ini hanyalah sunat mu’akkadah kurang tepat kerana terdapat juga ulamak yang mewajibkannya. Menurut al-Hafidz Ibn Hajar al-‘Asqalani rahimahullah:

Majoriti ulamak mengatakan hukumnya adalah sunnah mu’akkadah (sunnah yang amat dituntut). Tetapi, Abu 'Awanah di dalam shahihnya menyatakan bahawa hukumnya adalah wajib. Aku tidak pernah menemui ulamak yang berpendapat sedemikian selain beliau kecuali apa yang dinukil daripada Malik yang menyamakannya dengan hukum solat Jumaat. Ibn al-Manayyar menukilkan daripada Abu Hanifah bahawa menurutnya hukum solat Gerhana adalah wajib. Demikian juga dinukilkan oleh sebahagian penulis kitab mazhab Hanafi. – Rujuk Kitab Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari karya Ibn Hajar al-‘Asqalani tahqiq Syeikh Abdul Aziz Abdullah bin Baz, edisi terjemahan dengan tajuk Fath al-Bari Penjelasan Kitab Sahih al-Bukhari, Pustaka Azzam, Jakarta (2005), jil. 6, ms. 4.

Syeikh al-Albani rahimahullah pula menyokong pendapat bahawa solat Gerhana ini hukumnya wajib. Menurut beliau:

Inilah pendapat paling unggul (iaitu wajib solat Gerhana) dan untuk membuktikan penjelasan berikut ini, menurut pendapatku sesiapa yang mensunatkannya bererti dia telah mengabaikan perintah-perintah yang datang daripada Nabi s.a.w mengenai solat Gerhana tanpa ada dalil yang boleh menolak hukum asalnya, iaitu wajib. Al-Syaukani lebih cenderung kepada hukum wajib sebagaimana dinyatakan di dalam al-Sail al-Jarrar, jilid 1, muka surat 323 dan dipersetujui oleh Shadiq Khan di dalam al-Raudoh al-Nadiyyah. Inilah pendapat paling sahih. – Rujuk Kitab Tamam al-Minnah fi Ta’liq ‘Ala Fiqh al-Sunnah karya Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, edisi terjemahan dengan tajuk Tamamul Minnah Komentar Dan Koreksi Ilmiah Terhadap Kitab Fiqhus Sunnah Karya Sayyid Sabiq, Maktabah Salafy Press,Jakarta (2002), jil. 1, ms. 329.

Syeikh al-‘Utsaimin rahimahullah pula menegaskan bahawa majoriti ulamak menyatakan solat Gerhana adalah sunat mu’akkadah. Namun, sebahagian ulamak menyatakan ia wajib sama ada termasuk kategori fardu ‘ain atau fardu kifayah kerana terdapat perintah daripada Rasulullah s.a.w agar mengerjakan solat itu. Malah, perintah itu menunjukkan wajib.

Setelah itu, beliau menguatkan pandangan bahawa hukum solat Gerhana adalah wajib katanya:

Tidak diragukan lagi bahawa dalil ini cukup kuat baik dari sumber riwayat mahupun melalui pengkajian cerdik pandai agama. Paling tidak ia termasuk kategori fardu kifayah. Inilah menurut pendapat kami. Manakala pendapat jumhur, mereka tidak memiliki dalil yang menunjukkan perkara itu tidak wajib kecuali sabda Nabi s.a.w kepada seorang lelaki yang bertanya kepadanya:


Apakah ada lagi selain itu (selain kewajipan solat lima waktu)? Baginda menjawab: Tidak! Kecuali solat sunat. – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Imaan, no: 46.
Hal ini tidak bererti menolak kewajipan solat-solat selain solat lima waktu apabila wujud sebab yang mewajibkannya. Apa yang dimaksudkan dengan kalimah nafi 'tidak!' sebagaimana sabda baginda s.a.w, iaitu berkaitan solat-solat rawatib yang selalu berulang setiap hari. Mengenai solat-solat yang berkait dengan sebab-sebab tertentu, maka hadis ini tidak boleh dijadikan hujah untuk menolak kewajipannya.


Kesimpulannya, kami memandang bahawa solat Gerhana adalah wajib sama ada fardu atas setiap individu (fardu ‘ain) atau fardu kifayah (memadai dikerjakan oleh sebahagian kaum muslimin sahaja). – Rujuk Kitab Majmu’ Fatawa Arkanil Islam karya Syeikh Muhammad bin Shalih al-‘Utsaimin, edisi terjemahan dengan tajuk Majmu’ Fatawa Solusi Problematika Umat Islam Seputar Akidah dan Ibadah, Pustaka Arafah, Solo (2002), jil. 1, ms. 429-430.

Dengan ini, dapat kita fahami bahawa perlaksanaan solat Gerhana ini adalah satu perkara yang dipandang besar di kalangan para ulamak sehingga ada yang mewajibkannya. Pengajian hukum sunat atau wajib berkaitan sesuatu amalan itu hanyalah berbentuk kajian ilmiah dan bertujuan mengetahui sama ada sesuatu amalan itu dibenarkan untuk ditinggalkan atau tidak.

Namun, bagi mereka yang mencintai sunnah Nabi s.a.w sekiranya sesuatu sunnah itu sabit daripada hadis yang sahih maka mereka akan berusaha mengerjakannya tanpa memikirkan sama ada ia wajib atau sunat.

Menurut Syeikh Abdullah al-Bassam:

Seorang muslim sewajarnya mematuhi syariat tanpa memandang apakah ia fardu atau sunat. Apa yang penting dia melakukan kerana mematuhi syariat Allah semata-mata mengikuti sunnah Nabi-Nya dan mengharapkan ganjaran pahala. Pembahasan mengenai hukum hanya diperlukan ketika berlaku suatu waktu ingin meninggalkannya. Ketika itu apakah sunnah yang akan ditinggalkannya itu sesuatu yang wajib atau sunat (agar tidak bergelumang dengan dosa meninggalkan sunnah). Oleh itu, menjadi kewajipan seorang hamba agar serius beribadah. Manakala dalam kajian ilmiah dan mengetahui hukum-hukumnya bertujuan mengetahui antara yang fardu dan yang sunat. - Rujuk Taudhih al-Ahkam Min Bulughul Maram karya Syeikh Abdullah Abdul Rahman al-Bassam, edisi terjemahan dengan tajuk Syarah Bulughul Maram, Pustaka Azzam, Jakarta (2006), jil. 1, ms. 217.

TATACARA MENGERJAKAN SOLAT GERHANA


Waktu Dikerjakan Solat Gerhana.

Aisyah radhiallahu’ anha berkata:


خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ... ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ

Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lalu Rasulullah s.a.w mengimami solat orang ramai… Setelah baginda selesai solat matahari telah kelihatan. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.

Hadis di atas merupakan dalil tentang waktu harus dikerjakan solat Gerhana, iaitu bermula terjadinya gerhana sehingga berakhirnya gerhana. Sungguhpun begitu, sekiranya kita telah menyelesaikan perlaksanaan solat Gerhana namun gerhana tersebut belum berakhir, kita hendaklah memperbanyakan berdoa dan berzikir.

Menurut al-Hafidz Ibn Hajar rahimahullah:

Lafaz ini (hingga matahari kelihatan) merupakan dalil tentang lamanya solat Gerhana, iaitu hingga matahari nampak kembali. Al-Tohawi berpendapat bahawa di dalam hadis dinyatakan hendaklah kamu semua solat dan berdoa. Dalam erti kata lain, jika kita selesai melaksanakan solat Gerhana, namun matahari masih belum juga kelihatan, kita hendaklah memperbanyakan berdoa sehingga gerhana berakhir.


Ibn Daqiq al-'Id menguatkan lagi pendapat ini bahawa had waktu tersebut (antara mula gerhana hingga matahari muncul kembali) adalah had waktu untuk solat dan berdoa. Malah bermungkinan doa tersebut boleh dilakukan setelah selesai solat hinggalah matahari muncul kembali. Oleh itu, solat Gerhana tidak harus dilakukan terlalu lama atau mengulanginya beberapa kali jika matahari belum kelihatan sehingga matahari muncul (gerhana berakhir). – Rujuk Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari karya Ibn Hajar al-‘Asqalani, jil. 6, ms. 6.

Dikerjakan Di Masjid Secara Berjemaah Oleh Lelaki Dan Wanita.


Perlaksanaan solat Gerhana ini adalah secara berjemaah. Ia dilaksanakan di masjid dan bukan di musolla, iaitu tanah lapang seperti solat hari raya dan istisqa’ (mohon hujan).

Imam Syafie rahimahullah berkata:

Solat ketika terjadi gerhana matahari dan bulan diadakan secara berjemaah. Solat seperti ini tidak dilakukan pada tanda-tanda kebesaran Allah yang lain kecuali hanya pada gerhana matahari dan bulan. – Rujuk Mukhtasar Kitab al-Umm Fi al-Fiqh karya Abu Abdullah Muhammad bin Idris al-Syafie, ringkasan dan tahqiq oleh Husain Abdul Hamid Abu Nashir Nail, edisi terjemahan dengan tajuk Ringkasan Kitab al-Umm, Pustaka Azzam, Jakarta (2005), jil. 1, ms. 341.

Dalil tentang disyariatkan perlaksanaan solat Gerhana secara berjemaah sebagaimana hadis yang diriwayatkan daripada Aisyah radhiallahu’ anha katanya:



خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي حَيَاةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَرَجَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَصَفَّ النَّاسُ وَرَاءَهُ فَكَبَّرَ

Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada zaman Nabi s.a.w lantas baginda keluar menuju ke masjid dan orang ramai berbaris di belakangnya lalu baginda bertakbir. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1046.

Solat Gerhana ini bukan hanya dikerjakan oleh kaum lelaki malah kaum wanita juga boleh turut serta mengerjakannya secara berjemaah.

Menurut Hisyam bin 'Urwah radhiallahu’ anh, Fatimah Binti al-Mundzir radhiallahu’ anha telah meriwayatkan daripada Asma' binti Abu Bakar radhiallahu’ anhuma katanya:



أَتَيْتُ عَائِشَةَ زَوْجَ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ حِينَ خَسَفَتْ الشَّمْسُ فَإِذَا النَّاسُ قِيَامٌ يُصَلُّونَ وَإِذَا هِيَ قَائِمَةٌ تُصَلِّي...

Maksudnya:
Aku telah menemui Aisyah radhiallahu’ anha ketika terjadi gerhana matahari. Ternyata manusia berdiri mengerjakan solat. Begitu juga Aisyah berdiri mengerjakan solat. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1053.

Namun, sekiranya solat Gerhana itu tidak dilakukan secara berjemaah ia tetap sah. Menurut al-Hafidz Ibn Hajar rahimahullah, dalil yang mengharuskan solat Gerhana dikerjakan secara besendirian sebagaimana sabda Rasulullah s.a.w:



فَإِذَا رَأَيْتُمُوهُمَا فَافْزَعُوا إِلَى الصَّلاَةِ


Maksudnya:
Apabila kamu semua melihat kedua-duanya (matahari dan bulan mengalami gerhana), bersegeralah solat. – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1046.

Al-Hafidz Ibn Hajar rahimahullah berkata:

Berdasarkan lafaz ini dapat disimpulkan bahawa berjemaah bukanlah syarat sahnya solat Gerhana. Ini kerana terdapat terdapat isyarat di sini agar segera melaksanakan solat. Sedangkan menunggu jemaah kadang-kadang mengakibatkan waktu solat tamat atau membiarkan sebahagian waktu tanpa diisi dengan solat. – Rujuk Kitab Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari karya Ibn Hajar al-‘Asqalani, jil. 6, ms. 29.

Hendaklah Diserukan As-solatu Jami'ah Atau Innas Solata Jami'ah Sebelum Memulakan Solat.

Tidak ada seruan azan sebelum didirikan solat Gerhana tetapi disunnahkan melaungkan as-solatu jami'ah ataupun innas solata jami'ah.

Imam Syafie rahimahullah berkata:

Tidak ada laungan azan untuk solat Gerhana, solat hari raya, dan semua solat yang bukan solat fardu. Aku lebih menyukai imam agar memerintahkan seseorang meneriakkan as-solatu jami'ah. – Rujuk Kitab Mukhtasar Kitab al-Umm Fi al-Fiqh karya Abu Abdullah Muhammad bin Idris Syafie, jil. 1, ms. 344-345.

Abdullah bin Amr radhiallahu’ anh berkata:


لَمَّا كَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ نُودِيَ إِنَّ الصَّلاَةَ جَامِعَةٌ

Maksudnya:
Ketika terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w, lantas diserukan innas solata jami'ah (sesungguhnya solat berjemaah akan didirikan). – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1045.

Dikerjakan Sebanyak Dua Rakaat.

Jumlah rakaat solat Gerhana adalah dua rakaat sahaja. Syeikh Sayyid Sabiq rahimahullah berkata:

Jumhur ulamak mengatakan bahawa solat itu (gerhana) dilakukan dua rakaat dan setiap rakaat dengan dua kali rukuk. – Rujuk Kitab Fiqh al-Sunnah karya Syeikh Sayyid Sabiq, edisis terjemahan dengan tajuk Fikih Sunnah, Victory Agencie, Kuala Lumpur (1990), jil. 1, ms. 74.

Abu Bakrah radhiallahu’ anh berkata:



خَسَفَتْ الشَّمْسُ عَلَى عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَرَجَ يَجُرُّ رِدَاءَهُ حَتَّى انْتَهَى إِلَى الْمَسْجِدِ وَثَابَ النَّاسُ إِلَيْهِ فَصَلَّى بِهِمْ رَكْعَتَيْنِ فَانْجَلَتْ الشَّمْسُ

Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lantas baginda keluar sambil menarik atau menyeret rida' (kain yang diletakkan di atas bahu) hingga sampai ke masjid dan orang ramai telah berkumpul di sekelilingnya lalu baginda solat dua rakaat mengimami mereka. Kemudian matahari bersinar kembali. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1063.

Diperpanjangkan Bacaan Dalam Solat Gerhana.

Aisyah radhiallahu’ anha berkata:


خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ

Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lalu Rasulullah s.a.w mengimami solat orang ramai. Baginda berdiri dan memperlamakan berdiri. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.

Al-Hafidz Ibn Hajar rahimahullah ketika menjelaskan tentang baginda memanjangkan berdiri katanya:

Dalam riwayat Ibn Syihab disebutkan:


فَقَرَأَ قِرَاءَةً طَوِيلَةً

Maksudnya:
Maka baginda membaca dengan bacaan yang panjang.
Manakala pada bahagian akhir perbahasan tentang solat melalui jalur lain daripada Ibn Syihab disebut pula maka baginda s.a.w membaca surah yang panjang. Disebutkan dalam hadis Ibn Abbas yang akan disebutkan setelah empat bab:


فَقَرَأَ نَحْوًا مِنْ سُورَة الْبَقَرَة فِي الرَّكْعَة الأُولَى

Maksudnya:
Baginda membaca ayat seperti panjangnya surah al-Baqarah pada rakaat pertama.

Abu Daud meriwayatkan riwayat yang serupa melalui jalur Sulaiman bin Yasar daripada Urwah sambil menambah lafaz:


قَرَأَ فِي الْقِيَام الأَوَّل مِنْ الرَّكْعَة الثَّانِيَة نَحْوًا مِنْ آل عِمْرَان

Maksudnya:
Baginda s.a.w membaca (ayat) seperti panjangnya surah Ali ‘Imran ketika berdiri pertama pada rakaat kedua. – Rujuk Kitab Fath al-Bari Syarh Sahih al-Bukhari karya Ibn Hajar al-‘Asqlani, jil. 6, ms. 14-15.

Terdapat Empat Kali Rukuk.


Berbeza dengan solat-solat sunat yang lain, solat Gerhana memiliki empat kali rukuk, iaitu dua kali rukuk setiap rakaat.

Aisyah radhiallahu’ anha berkata:


خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ فَقَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ ثُمَّ قَامَ فَأَطَالَ الْقِيَامَ وَهُوَ دُونَ الْقِيَامِ الْأَوَّلِ ثُمَّ رَكَعَ فَأَطَالَ الرُّكُوعَ وَهُوَ دُونَ الرُّكُوعِ الْأَوَّلِ ثُمَّ سَجَدَ فَأَطَالَ السُّجُودَ ثُمَّ فَعَلَ فِي الرَّكْعَةِ الثَّانِيَةِ مِثْلَ مَا فَعَلَ فِي الأُولَى ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ


Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lantas Rasulullah s.a.w mengimami solat orang ramai. Baginda berdiri dan memanjangkan berdiri, kemudian rukuk dan memanjangkan rukuk.


Kemudian baginda berdiri dan memanjangkan berdiri namun lebih pendek dari berdiri yang pertama. Kemudian baginda rukuk dan memanjangkan rukuk, namun lebih pendek dari rukuk yang pertama.


Kemudian baginda sujud dan memanjangkan sujud seterusnya melakukan pada rakaat kedua sama seperti yang dilakukan pada rakaat pertama.


Kemudian baginda selesai solat dan matahari telah kelihatan sinarnya kembali. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.

Menerusi hadis di atas dapat kita fahami bahawa perbezaan solat Gerhana berbanding solat-solat yang lain ialah sebaik sahaja membaca al-Fatihah dan mana-mana surah dari al-Quran kita hendaklah rukuk. Kemudian bangun kembali dan sekali lagi membaca al-Fatihah dan mana-mana surah dari al-Quran lalu rukuk semula. Kemudian iktidal lalu sujud dan teruskan solat sebagaimana solat-solat yang lain.

Ulangi perkara yang sama pada rakaat kedua. Tidak terdapat riwayat yang menunjukkan adanya zikir-zikir atau bacaan yang khusus untuk solat Gerhana ketika rukuk, iktidal, sujud, duduk antara dua sujud dan tahiyyat. Oleh itu, kita boleh membaca apa jua bacaan ketika solat yang sabit daripada Rasulullah s.a.w sebagaimana yang terdapat dalam hadis.

Menguatkan Suara (Jahr).


Suara hendaklah dinyaringkan ketika membaca ayat al-Quran dalam solat Gerhana. Menurut 'Urwah, Aisyah radhiallahu’ anha berkata:

جَهَرَ النَّبِيُّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فِي صَلاَةِ الْخُسُوفِ بِقِرَاءَتِهِ فَإِذَا فَرَغَ مِنْ قِرَاءَتِهِ كَبَّرَ فَرَكَعَ وَإِذَا رَفَعَ مِنْ الرَّكْعَةِ قَالَ سَمِعَ اللَّهُ لِمَنْ حَمِدَهُ رَبَّنَا وَلَكَ الْحَمْدُ ثُمَّ يُعَاوِدُ الْقِرَاءَةَ فِي صَلاَةِ الْكُسُوفِ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ فِي رَكْعَتَيْنِ وَأَرْبَعَ سَجَدَاتٍ

Maksudnya:
Nabi s.a.w mengeraskan bacaan pada solat Gerhana. Apabila selesai membaca baginda terus bertakbir dan rukuk. Apabila baginda selesai rukuk, baginda mengucapkan sami’allaahu liman hamidah rabbana lakal hamdu (semoga Allah mendengar orang yang memuji-Nya, wahai Tuhan kami bagi-Mu segala pujian), kemudian baginda membaca kembali. Pada solat Gerhana terdapat empat kali rukuk dalam dua rakaat dan empat kali sujud. – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1065.

Syeikh al-Albani rahimahullah berkata:

Telah ditetapkan oleh Allah bahawa solat Gerhana matahari dilakukan oleh Nabi s.a.w hanya sekali. Juga telah diriwayatkan daripada hadis sahih bahawa baginda mengeraskan bacaan al-Quran seperti yang dijelaskan di dalam Sahih al-Bukhari dan tidak benar jika ada mengatakan bahawa terdapat hadis lain yang menyanggahinya. – Rujuk Kitab Tamam al-Minnah fi Ta’liq ‘Ala Fiqh al-Sunnah karya Syeikh Muhammad Nashiruddin al-Albani, jil. 1, ms. 331.

Ringkasan Tatacara Mengerjakan Solat Gerhana

Rakaat Pertama
1) Berniat di dalam hati untuk mengerjakan solat Gerhana (Kusuf atau Khusuf)
2) Takbiratul Ihram
3) Doa Iftitah
4) Membaca surah al-Fatihah
5) Membaca Surah al-Qur’an
6) Rukuk
7) Iktidal
8) Membaca Surah al-Fatihah
9) Membaca Surah al-Qur’an
10) Rukuk
11) Iktidal
12) Sujud
13) Duduk antara dua sujud
14) Sujud kali kedua
15) Bangun untuk rakaat kedua

Rakaat Kedua
1) Membaca surah al-Fatihah
2) Membaca Surah al-Qur’an
3) Rukuk
4) Iktidal
5) Membaca Surah al-Fatihah
6) Membaca Surah al-Qur’an
7) Rukuk
8) Iktidal
9) Sujud
10) Duduk antara dua sujud
11) Sujud kali kedua
12) Duduk untuk tahiyyat akhir
13) Memberi salam ke kanan dan ke kiri


Khutbah Ringkas Selepas Solat.

Setelah selesai mengerjakan solat Gerhana, sunnah dilaksanakan khutbah yang ringkas.

Imam Syafie rahimahullah berkata:

Imam hendaklah menjadikan khutbah ketika solat Gerhana matahari seperti khutbah-khutbah lain, iaitu dimulai dengan puji-pujian kepada Allah dan berselawat ke atas Nabi s.a.w, mendorong manusia berbuat kebajikan, memerintahkan mereka bertaubat serta mendekatkan diri kepada Allah. – Rujuk Kitab Mukhtasar Kitab al-Umm Fi al-Fiqh karya Abu Abdullah Muhammad bin Idris Syafie, jil. 1, ms. 344.

Antara contoh khutbah Rasulullah s.a.w setelah mendirikan solat Gerhana seperti di bawah.

Aisyah radhiallahu’ anha berkata:



خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي عَهْدِ رَسُولِ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَصَلَّى رَسُولُ اللَّهِ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ بِالنَّاسِ... ثُمَّ انْصَرَفَ وَقَدْ انْجَلَتْ الشَّمْسُ فَخَطَبَ النَّاسَ فَحَمِدَ اللَّهَ وَأَثْنَى عَلَيْهِ

Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada masa Rasulullah s.a.w lantas Rasulullah s.a.w mengimami solat manusia… Setelah baginda selesai solat dan matahari telah kelihatan sinarnya kembali. Lalu baginda berkhutbah di hadapan orang ramai dengan memuji Allah serta menyanjung-Nya. - Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1044.

Aisyah radhiallahu’ anha berkata:


خَسَفَتْ الشَّمْسُ فِي حَيَاةِ النَّبِيِّ صَلَّى اللَّهُ عَلَيْهِ وَسَلَّمَ فَخَرَجَ إِلَى الْمَسْجِدِ فَصَفَّ النَّاسُ وَرَاءَهُ فَكَبَّرَ... فَاسْتَكْمَلَ أَرْبَعَ رَكَعَاتٍ فِي أَرْبَعِ سَجَدَاتٍ وَانْجَلَتْ الشَّمْسُ قَبْلَ أَنْ يَنْصَرِفَ ثُمَّ قَامَ فَأَثْنَى عَلَى اللَّهِ بِمَا هُوَ أَهْلُهُ

Maksudnya:
Terjadi gerhana matahari pada zaman Nabi s.a.w lantas baginda keluar menuju ke masjid dan orang ramai berbaris di belakangnya, lalu baginda bertakbir… Baginda s.a.w menyempurnakan empat kali rukuk pada empat kali sujud dan matahari telah mula kelihatan sebelum baginda selesai solat. Kemudian baginda berdiri lalu memuji Allah sebagaimana yang layak untuk-Nya (semasa berkhutbah). – Hadis riwayat al-Bukhari dalam Shahihnya, Kitab al-Jumu’ah, no: 1046.

Monday, December 14, 2009

CARA MEMOTONG KUKU

Adab memotong kuku

http://nasbunnuraini.wordpress.com/

Ada juga golongan yang mempertikaikan riwayat-riwayat di atas. Apapun secara amnya sunat memotong kuku pada hari Isnin, Khamis dan Jumaat. Ada juga riwayat mengatakan siapa potong kuku setiap hari Rabu miskinlah ia. (Kesahihannya wallahua’lam). Seboleh-bolehnya elakkan dari mengekalkan memotong kuku pada hari Rabu (sekali-sekala tidak apa). Ini kerana isteri nabi iaitu Siti Khadijah pernah bertanya bagaimanakah caranya untuk menghabiskan harta beliau yang banyak. Maka jawab Nabi s.a.w. potonglah kuku pada setiap hari Rabu.

Nabi juga pernah berkata, jangan panjangkan kuku kerana syaitan berlari di atas kuku yang panjang. Begitu juga misai yang melebihi bibir mulut.

Kaedah yang paling mudah ialah:-

KUKU TANGAN

Mulai dari Jari Telunjuk tangan kanan.
Jari Tengah tangan kanan
Jari Manis tangan kanan
Jari Kelingking tangan kanan (Tinggalkan Ibu Jari tangan kanan)
Jari Kelingking tangan kiri
Jari Manis tangan kiri
Jari Tengah tangan kiri
Jari Telunjuk tangan kiri
Ibu Jari tangan kiri
Ibu Jari tangan kanan
Mula dari kanan, penghabisan juga sebelah kanan.

KUKU KAKI - Mula dari kanan, penghabisan sebelah kiri iaitu kelingking kiri. Mulai dari Kelingking Kanan dan bergerak ke jari-jari lain di sebelah kiri jari kelingking kanan . (cara terus, straight – cara “highway”

Mohon kebenaran ambil artikel.

HUKUM BERTEPUK TANGAN

Hukum tepuk tangan

http://akhisalman.blogspot.com

Pengarang kitab حفل الزفاف في الفقه الإسلامي berkata:

Sesungguhnya tepuk tangan bila dilihat dari segi hakikatnya adalah suatu perbuatan manusia yang biasa. Hukumnya berdasarkan faktor kepada perbuatan tepuk tangan itu dilakukan. Sesiapa yang bertepuk tangan kerana untuk memberi peringatan maka perkara tersebut adalah harus.

Pengarang ini merujuk kepada sebuah buku dalam mazhab Syafie iaitu kitab حاشية الشبراملسي . Bila dilihat dalam kitab tersebut ada dinukilkan dari kitan فتح الجواد karangan Imam Ibnu Hajar Haitami:

“Diharuskan tepuk tangan dengan kedua tapak tangan sekalipun ditujuan untuk bermain-main, sekalipun ia dianggap sebagai bentuk nyanyian.”

TEPUK TANGAN KETIKA MENDENDANGKAN LAGU

Ulama berselisih pendapat berkenaan dengan masalah ini:

PENDAPAT PERTAMA: Haram tepuk tangan ketika mendendangkan lagu. Ini adalah pendapat Mazhab Hanafi dan sebahgian ulama Syafie.

PENDAPAT KEDUA: Makruh tepuk tangan ketika mendendangkan lagu. Ini adalah pendapat utama dalam mazhab Syafie dan pendapat mazhab Maliki.

DALIL PENDAPAT PERTAMA:

1. Firman Allah swt:


وما كان صلاتهم عند البيت إلا مكاء وتصدية


“ Cara ibadah dan solat orang-orang musyrikin di sekeliling ka’bah hanyalah dengan bersiul dan bertepuk tangan.” (35 : al-Anfal)

Bentuk pengambilan dalil:: Bertepuk tangan adalah dari perbuatan orang-orang musyrik. Orang bertepuk tangan meniru perbuatan orang-orang musyrikin.

2. Bagi orang lelaki dilarang kerana ia menyerupai perbuatan wanita dalam solat. Nabi saw bersabda:

إنما التصفيق للنساء


“Tepuk tangan dalam solat (untuk menegur imam) hanyalah untuk perempuan.” (Hr Bukhari dan Muslim)

JAWAPAN KEPADA TERHADAP DALIL

Jawapan terhadap pendalilan yang pertama adalah: Ayat ini menunjukkan perngharaman dan larangan beribadah dengan bertepuk tangan. Ia bukan pengharaman tepuk tangan di luar ibadah.

Jawapan kepada pendalilan yang kedua adalah: Hadis ini mengkhusukan tepuk tangan untuk wanita dalam solat sahaja.

KESIMPULAN

Hukum bertepuk tangan adalah mengikut kepada sebab bertepuk tangan. Ianya ada 4 seperti berikut:

1. TEPUK TANGAN DALAM SOLAT BAGI WANITA UNTUK PERINGATAN: Para ulama bersepakat ianya disyariatkan.

2. TEPUK TANGAN UNTUK IBADAT SEPERTI DALAM SOLAT, ZIKIR DAN TAWAF: Ianya dilarang berdasarkan ayat Quran yang telah lepas.

3. TEPUK TANGAN UNTUK NYANYIAN: ada yang mengharamkan dan ada yang memakruhkan. Apa yang difatwakan Dr Yusuf Qardawi dalam kitab فقه اللهو والترفيه adalah harus hukumnya kerana tidak ada dalil yang melarangnya.

4. TEPUK TANGAN UNTUK MEMBERI SEMANGAT ATAU RASA KAGUM: Ini juga dibenarkan kerana ia diperlukan. Pengarang kitab الموسوعة الفقهية الكويتية mengatakan:

“ Tepuk tangan di luar solat dan khutbah adalah diharuskan sekiranya untuk keperluan yang dibenarkan syara’ seperti minta izin untuk masuk, memberi peringatan, mengelokkan persembahan nasyid atau wanita yang bermain dengan kanak-kanak.”

Rujukan:

1.Fiqhul Lahwi wat Tarwih oleh Dr Yusuf Al-Qaradawi

2.Haflu Zafaf fil Fiqh Islami oleh Rafiq Abd Aziz As-Sobbagh

3.Mausu’ah Fiqhiyyah oleh Kementerian Wakaf dan Hal Ehwal Agama, Kuwait

Sunday, December 6, 2009

Beauty of Maths

1 x 8 + 1 = 9
12 x 8 + 2 = 98
123 x 8 + 3 = 987
1234 x 8 + 4 = 9876
12345 x 8 + 5 = 98765
123456 x 8 + 6 = 987654
1234567 x 8 + 7 = 9876543
12345678 x 8 + 8 = 98765432
123456789 x 8 + 9 = 987654321

1 x 9 + 2 = 11
12 x 9 + 3 = 111
123 x 9 + 4 = 1111
1234 x 9 + 5 = 11111
12345 x 9 + 6 = 111111
123456 x 9 + 7 = 1111111
1234567 x 9 + 8 = 11111111
12345678 x 9 + 9 = 111111111
123456789 x 9 +10= 1111111111

9 x 9 + 7 = 88
98 x 9 + 6 = 888
987 x 9 + 5 = 8888
9876 x 9 + 4 = 88888
98765 x 9 + 3 = 888888
987654 x 9 + 2 = 8888888
9876543 x 9 + 1 = 88888888
98765432 x 9 + 0 = 888888888

Brilliant, isn't it?

And look at this symmetry:

1 x 1 = 1
11 x 11 = 121
111 x 111 = 12321
1111 x 1111 = 1234321
11111 x 11111 = 123454321
111111 x 111111 = 12345654321
1111111 x 1111111 = 1234567654321
11111111 x 11111111 = 123456787654321
111111111 x 111111111 = 12345678987654321



Now, take a look at this...


101%



From a strictly mathematical viewpoint:



What Equals 100%?
What does it mean to give MORE than 100%?

Ever wonder about those people who say they are giving more than 100%?

We have all been in situations where someone wants you to
GIVE OVER 100%.

How about ACHIEVING 101%?


What equals 100% in life?


Here's a little mathematical formula that might help
answer these questions:


If:

A B C D E F G H I J K L M N O P Q R S T U V W X Y Z

Is represented as:

1 2 3 4 5 6 7 8 9 10 11 12 13 14 15 16 17 18 19 20 21 22 23 24 25 26.


If:


H-A-R-D-W-O-R- K

8+1+18+4+23+15+18+11 = 98%


And:

K-N-O-W-L-E-D-G-E

11+14+15+23+12+5+4+7+5 = 96%


But:

A-T-T-I-T-U-D-E

1+20+20+9+20+21+4+5 = 100%



THEN, look how far the love of God will take you:



L-O-V-E-O-F-G-O-D

12+15+22+5+15+6+7+15+4 = 101%


Therefore, one can conclude with mathematical certainty that:

While Hard Work and Knowledge will get you close, and Attitude will
get you there, It's the Love of God that will put you over the top!

Thursday, December 3, 2009

HIBURAN DALAM ISLAM

Dasar-dasar & Batas-batas Minima Yang Boleh Ditetapkan dicadangkan dasar-dasar dan batas-batas minima berikut bagi menentukan muzik dan lagu ‘halal’ bagi masyarakat awam;

1. Hiburan tidak boleh mengandungi apa yang diharamkan oleh Allah Taala atau menjurus kepada yang haram seperti:

• memuja wanita.

• mendedahkan aurat.

• menggalakkan pergaulan bebas.

• mengandungi kata-kata yang membawa kekufuran seperti memuja syaitan dan mempropagandakan kepercayaan agama lain.

• memuja dadah dan arak.

• mengandungi khayalan-khayalan yang tidak bermanfaat seperti khayalan cinta.

• menghina amalan-amalan Islam.

• memfitnah orang.

2. Hiburan dipersembahkan dengan menepati adab-adab yang telah ditetap oleh Islam.

3. Hiburan hendaklah tidak menyebabkan pengabaian sesuatu yang lebih penting berdasarkan prinsip penentuan prioriti dalam Islam seperti berhibur hingga terlupa bersolat dan terlalu tenggelam mendengar muzik sehingga tidak membaca Al-Quran.

4. Hiburan bukanlah alternatif pada amalan ibadat khusus tetapi pendorong padanya.

5. Hiburan hendaklah menjauhi dari unsur menyerupai penganut agama lain atau golongan yang berakhlaq rendah kerana Islam sentiasa menuntut umatnya agar menyalahi amalan penganut agama lain dan menjauhi dari dikaitan dengan akhlaq-akhlaq yang keji. Ini dapat dilihat dari larangan bersolat selepas solat Subuh dan selepas Asar kerana menjauhi amalan penyembah matahari dan amalan berpuasa sembilan dan sepuluh Muharram kerana menyalahi amalan orang Yahudi yang berpuasa pada sepuluh Muharram sahaja.

Sebagai contoh ialah berambut panjang. Walau pun tiada dalil khusus yang melarang orang lelaki berambut panjang tetapi oleh kerana ia telah menjadi simbol para penyanyi Rok yang dikeji oleh Islam maka ia perlu ditinggalkan.

6. Semua alat muzik adalah harus kecuali ia digunakan untuk sesuatu yang haram atau menjurus pada yang haram atau sebab-sebab sampingan yang lain yang diharamkan. Ini berdasarkan pada pandangan Ibn Hazm yang berpendapat bahawa dalil-dalil mengenai pengharaman alat-alat bertali dan tiupan adalah lemah.

7. Tertakluk pada dasar-dasar hiburan, nyanyian oleh wanita adalah harus. Ini berdasarkan pada pendapat bahawa suara wanita bukan aurat.

8. Penyanyi wanita hendaklah menjaga batas-batas hijab atau tidak berjoget atau berlenggang lenggok secara mengghairahkan.

9. Hukum nyanyian dan lagu juga berkaitan dengan konteks ia disampaikan. Lagu bertemakan cinta, jika dinyanyikan untuk memuja wanita dan berkhayal ia membawa pada haram tetapi jika ia dinyanyikan untuk isteri atau suami bagi mengeratkan lagi kasih sayang maka ia dibenarkan. Ini termasuk di bawah kaedah Al-Umur Bi Maqasidiha.

10. Begitu juga lagu-lagu yang bersifat abstrak atau kiasan, keharusannya bergantung pada bagaimana ia ditafsirkan. Sekiranya pentafsirannya menjurus pada haram maka ia menjadi haram dan sebaliknya.


Imam Ghazali telah menyatakan beberapa sebab yang membawa nyanyian tersebut menjadi haram. Antaranya ialah:

1. Berkenaan Dengan SiPenyanyi

Situasi yang pertama ialah yang memperdengarkan nyanyian tersebut adalah wanita yang tidak halal bagi lelaki memandangnya kerana dikhuatiri timbul fitnah akibat mendengar nyanyiannya dan timbulnya nafsu syahwat yang bermula daripada pandangan dan alunan suaranya. Keadaan ,ini memberi kesan yang amat bahaya kerana ia adalah bibit-bibit bermulanya penzinaan yang diharamkakan ;oleh Allah Taala. Maka sudah sepatutnya perkara ini diambil berat dan dibatasi pengharamnya.

2. Alat Muzik

Manakala perkara yang kedua adalah berkaitan dengan alat-alat muzik yang digunakan dalam sesuatau nyanyian, iaitu alat-alat muzik yang bersimbolkan orang yang kaki arak atau orang yang menyerupai wanita seperti seruling, gitar dan yang lain-lainnya. Namun selaindari itu tetap pada hukum asalnya ialah harus seperti rebana,kompang, tambur dan terompet.

3. Lirik lagu

Penghalang ketiga adalah lirik lagu atau kandungan suara. Sekiranya lirik tersebut mengandungi perkataan yang buruk, .keji, cacian atau perkara yang mendustakan Allah dan Rasul-Nya atau para sahabat dan sebagainya. Begitu juga lirik tersebut menggambarkan bentuk tubuh wanita yang haram padanya .

WABAK SELESEMA BABI

Wabak Selsema Babi Satu Peringatan Allah
16 Ogos 2009 12:20

Dunia seringkali dikejutkan dengan pelbagai ancaman wabak penyakit. Beberapa tahun lalu kita dikejutkan dengan ancaman Selsema Burung, JE, Denggi, Chikungunya, dan HIV. Kini sekali lagi dunia berdepan dengan wabak yang menakutkan iaitu Wabak Selsema Babi. Sehingga kini seramai 159 orang disahkan meninggal dunia dan lebih 1,300 orang sebagai pengidap. Antara negara yang terlibat ialah Mexico, Amerika Syarikat dan beberapa negara Asia.

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah memberi amaran kepada semua negara agar mengambil langkah tegas mengawal penularan wabak ini. Wabak Selsema Babi adalah kombinasi daripada tiga virus iaitu Virus Selsema Burung, Virus Selsema Manusia dan Virus Selsema Babi. Virus ini menyerang sistem pernafasan disebabkan oleh virus selsema jenis A (H1N1) yang mula dikesan sejak 1988.

Wabak ini mudah berjangkit melalui sentuhan langsung dengan babi atau pemindahan virus selsema babi kepada manusia dan manusia sesama manusia. Kesan yang dikenal pasti apabila suhu badan melebihi 37.8 darjah celsius, sakit badan, batuk, berhingus, bersin, sesak nafas, hilang selera makan, muntah, dan cirit birit.

Al-Qur’an banyak memberi amaran kepada manusia yang mengkufuri dan melakukan maksiat kepada Allah s.w.t. dengan pelbagai ancaman. Antara ancaman tersebut ada yang berbentuk kesengsaraan di dunia dan ada yang berbentuk kesengsaraan di akhirat. Di antara kesengsaraan di dunia ialah seperti bencana alam, peperangan, kemalangan, dan serangan wabak penyakit.

Persoalan besar yang timbul ialah apakah perkaitan antara pengharaman babi dengan wabak yang dahsyat ini?.
Benarkah virus boleh berubah dalam bentuk yang lebih bahaya pada babi?.

Menurut pengkaji, kuman-kuman virus daripada babi ini mampu berubah menjadi lebih berbahaya dari semasa ke semasa. Justeru sejak 1430 tahun hijrah lalu, al-Qur’an telah memperingatkan sebanyak empat kali tentang pengharaman babi yang akan membinasakan kehidupan manusia.

Firman Allah s.w.t. dalam surah al-Maidah ayat 3:

Maksudnya: “Diharamkan kepada kamu (memakan) bangkai, dan darah, dan daging babi, dan binatang-binatang yang disembelih kerana yang lain dari Allah, dan yang mati tercekik, dan mati dipukul, dan mati jatuh, dan mati ditanduk, dan yang mati dimakan binatang buas, kecuali yang sempat kamu sembelih, dan yang disembelih atas nama berhala; dan (diharamkan) kamu mengundi nasib dengan anak panah. Yang demikian itu adalah perbuatan fasik.”

Berdasarkan ayat tersebut, jelas bahawa Allah s.w.t. mengharamkan sesuatu perkara mempunyai hikmah yang tertentu. Antaranya, bertujuan membuktikan perhambaan diri kepada Allah azza wa jalla dan menyelamatkan manusia daripada kerosakan. Menurut kajian saintis, memakan daging babi menyebabkan seseorang boleh dihinggapi hampir 70 jenis penyakit.

Dalam menghadapi ancaman wabak selesema babi ini, semua pihak diseru agar mengambil perhatian serius terhadap serangan wabak ini. Lebih-lebih lagi pihak berkuasa negara, perlulah mengawal pintu masuk negara daripada kemasukan pelancong ke negara ini yang dikhuatiri membawa virus tersebut. Seterusnya mempastikan warganegara Malaysia tidak berkunjung ke negara yang dilanda wabak, di samping perlunya peraturan dan kawalan ketat terhadap aktiviti penternakan babi di negara ini. Sebagai muslim, kita mestilah berusaha mematuhi segala perintah Allah dan meninggalkan segala larangan-Nya di samping memperbanyakkan doa dan munajat kepada Allah Azza wa jalla dalam menghadapi apa jua ancaman dan musibah.

Yakinlah bahawa Islam adalah agama Allah yang benar, memenuhi keperluan fitrah setiap manusia. Oleh itu, pengharaman Islam terhadap babi, arak, zina, rasuah, judi dan sebagainya adalah untuk menjaga maslahah nyawa dan kehidupan manusia seluruhnya. Mimbar amat mengharapkan adanya usaha yang terancang pihak kerajaan dalam menguatkuasakan pengharaman ke atas perkara-perkara yang jelas ditegah oleh Allah s.w.t.

“Demi masa, Sesungguhnya manusia itu dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal salih, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan sabar.”

Sumber : Jabatan Kemajuan Islam Malaysia

Wednesday, December 2, 2009

PANDUAN KORBAN

Qurban / korban ialah menyembelih binatang ternakan berkaki empat (Al-An’am) pada hari Raya Aidil Adha atau hari-hari Tasyriq (11, 12, 13 Zulhijjah) dengan tujuan beribadat kepada Allah.

Hukum ibadah Qurban adalah sunat muakkad bagi yang mampu dan wajib bagi yang bernazar.

Ibadah Qurban bermula selepas naik matahari sekadar cukup untuk solat dua rakaat dan khutbah pada 10 Zulhijjah dan berakhir ketika terbenam matahari 13 Zulhijjah.

Ibadah Qurban dilaksanakan sempena mengingati peristiwa Nabi Ibrahim yang ingin menyembelih anaknya, nabi Ismail kerana melaksanakan perintah Allah SWT. Walau bagaimanapun, peristiwa tersebut sekadar ujian Allah SWT kepada kedua-dua beranak tersebut. Mereka telah berjaya dalam ujian tersebut di mana nabi Ibrahim sanggup menyembelihkan anak sendiri dan nabi Ismail pula patuh dengan perintah ayahnya untuk disembelih. Semua ini dilakukan menunjukkan bahawa betapa mereka amat patuh kepada perintah Allah lebih daripada yang lain walaupun ia melibatkan nyawa dan kasih sayang ayah dan anak. Lalu Allah telah menggantikan tempat nabi Ismail dengan kambing (Qibasy).

Ibadah qurban juga dilakukan sebagai cara untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Syarat-syarat sah ibadat Qurban ialah:

(a) Berniat Qurban ketika menyembelih.

(b) Sembelihan dilakukan dalam waktunya iaitu matahari naik kadar sepegalah pada 10 Zulhijjah hingga terbenam matahari 13 zulhijjah.

(c) Penyembelih orang Islam.

(d) Tidak terdapat kecacatan pada binatang qurban tersebut yang boleh mengurangkan dagingnya.

(e) Binatang ternakan yang halal dimakan.

(f) Binatang yang hendak disembelih sudah cukup umur.

Binatang yang sudah cukup umur untuk dijadikan Qurban adalah seperti berikut:

Binatang


Umur

Biri-biri/


1 tahun atau lebih

Kambing


2 tahun atau lebih

Lembu/kerbau


2 tahun atau lebih

Unta


5 tahun atau lebih

Pembahagian daging Qurban

Pembahagian daging Qurban adalah seperti berikut:

(a) 1/3 disedeqahkan kepada fakir miskin

(b) 1/3 dimasak untuk jamuan ramai

(c) 1/3 orang yang berQurban

Qurban Nazar haram dimakan oleh orang yang bernazar.

Lebih afdhal sekiranya orang yang berqurban itu memakan sedikit daripada daging qurbannya.

Haram diberikan daging qurban kepada orang kafir sama ada dalam keadaan mentah
ataupun masak.

Harus disedeqahkan kepada orang kaya.

Perkara Sunat Ketika Ibadah Qurban

1 Membaca Basmallah atau takbir

2 Selawat kepada nabi

3 Menyembelih pada waktu siang.

4 Memilih binatang yang gemuk dan sihat.

5 Disembelih oleh orang yang berqurban.

6. Binatang hendaklah dibaring di atas rusuk kiri dan mengadap kiblat.

7. Orang yang berqurban makan sebahagian daging qurban

8. Menggunakan alat sembelihan yang tajam

Hikmah-hikmah Qurban

1. Melatih diri sangup berkorban pada perkara kebaikan.

2. Membuang sifat kedekut, bakhil dan tamak dalam diri.

3. Tanda kesyukuran di atas nikmat pem­berian Allah.

4. Meningkatkan ketaqwaan kepada Allah

5. Mengingati pengorbanan Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail. Ia boleh memupuk semangat pengorbanan terhadap diri dan masyarakat.

6. Menggembirakan fakir miskin untuk menikmati juadah daging korban.

7. Merapatkan hubungan silaturrahim yang erat di kalangan umat Islam

Kategori...!!!

Pengikut...!!!

Tentang Blog Ini...!!!

Blog ini menceritakan apa-apa sahaja yang bermanfaat tidak kira tentang agama, hal ehwal semasa, pendidikan mahupun teknologi.

  © Blogger template 'External' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP