Tuesday, August 28, 2012

SUJUD SAHWI

Sahwi bermaksud lupa sesuatu. Pengertian dari segi syarak adalah terlupa sesuatu di dalam solat. Sujud sahwi adalah sujud yang dilakukan sebanyak dua kali setelah selesai bacaan Tahiyat akhir dan sebelum salam; ia dikerjakan untuk menutup kecacatan dalam pelaksanaan solat kerana terlupa, dan hukumnya adalah sunat.


Doa sujud sahwi adalah seperti berikut:

[سُبْحَانَ مَنْ لَا يَنَامُ وَلَا يَسْهُوْ] Subhaana man-laa yanaamu walaa yashuu

Ertinya: "Maha Suci Allah yang tidak tidur dan tidak lupa."
Sebab-sebab sujud sahwi ada tiga: kerana kelebihan, kerana kekurangan, dan kerana ragu-ragu.
  1. Sujud Sahwi Kerana Kelebihan
    1. Barangsiapa terlupa di dalam solatnya lalu tertambah rukuk, atau sujud, dan sebagainya, maka dia perlu sujud sahwi.
  2. Sujud Sahwi Kerana Kekurangan
    1. Barangsiapa, justeru terlupa, lalu meninggalkan salah satu sunat ab'adh, maka ia harus sujud sahwi sebelum salam. Misalnya, makmum terlupa tahiyyat awal dan hanya teringat setelah sempurna qiam (berdiri tegak), maka dia tidaklah perlu duduk kembali dan cukup baginya sujud sahwi. Namun, sekiranya dia teringat sebelum separuh bangkit untuk qiam, maka bolehlah dia kembali duduk dan menyempurnakan tahiyyat awal dan tidak perlu sujud sahwi.
  3. Sujud Sahwi Kerana Ragu-ragu
    1. Keragu-raguan di dalam solat adalah kerana tidak meyakini sama ada terlebih atau terkurang, umpamanya seseorang ragu sama ada dia di dalam rakaat ketiga atau keempat. Keraguan ada dua jenis:
      1. Sekiranya seseorang lebih cenderung kepada satu hal (waham, atau lebih 50% pasti), umpamanya dia lebih meyakini dia kini di dalam rakaat ketiga dan bukan rakaat keempat, maka dia harus menurutkan mengambil sikap kepada yang lebih ia yakini, kemudian dia melakukan sujud sahwi setelah salam.
      2. Sekiranya seseorang itu ragu-ragu antara dua hal, dan tidak condong pada salah satunya (dzan, atau hanya 50-50 pasti), maka dia harus mengambil sikap kepada hal yang sudah pasti akan kebenarannya, iaitu jumlah rakaat yang sedikit. Kemudian menutupi kekurangan tersebut, lalu sujud sahwi sebelum salam.
      3. Apabila seseorang meninggalkan salah satu rukun solat secara tidak sengaja, dan ia belum sampai pada rukun yang sama di rakaat berikutnya, maka ia wajib kembali kepada rukun yang tertinggal itu, dan kembali meneruskan solat dari situ. Sekiranya dia sudah berada pada rukun yang tertinggal itu pada rakaat berikutnya, maka rukun yang tertinggal itu dianggap terganti dengan rukun pada rakaat berikutnya itu. Pada kedua-dua hal ini, wajib dia melakukan sujud sahwi setelah salam atau sebelumnya.
      4. Apabila sujud sahwi dilakukan setelah salam, maka harus pula melakukan salam sekali lagi.
      5. Apabila seseorang yang melakukan solat meninggalkan sunat ab'adh secara sengaja, maka batallah solatnya.
        1. Jika ketinggalan kerana lupa, kemudian dia ingat sebelum beranjak dari sunat ab'adh tersebut, maka hendaklah dia melaksanakannya dan tidak perlu sujud sahwi.
        2. Jika ia teringat setelah melewatinya tapi belum sampai kepada rukun berikutnya, maka hendaklah dia kembali melaksanakan rukun tersebut, lalu sujud sahwi selepas salam.
        3. Jika ia teringat setelah sampai kepada rukun yang berikutnya, maka sunat ab'adh itu gugur, dan dia tidak perlu kembali kepadanya untuk melakukannya, akan tetapi perlu sujud sahwi sebelum salam.
      6. Sekiranya seseorang itu terlupa sujud sahwi dan teringat hanya selepas memberi salam maka bolehlah ia sujud sahwi, dengan syarat ingatan itu timbul dalam masa yang tidak begitu lama.
      7. Sekiranya imam terlupa sujud sahwi, makmum bolehlah sujud sahwi setelah imam memberi salam.

Sunday, June 24, 2012

Solat Sunat Dhuha

Solat sunat Dhuha merupakan satu ibadat sunat yang dituntut berdasarkan hadith Rasulullah S.A.W yang diriwayatkan daripada Ibn Abbas R.A. seperti berikut;

ثلاث هن علي فرائض، وهن لكم تطوع: الوتر، والنحر وصلاة الضحى

Maksudnya:“Ada tiga perkara yang hukumnya wajib ke atasku dan sunat (sukarela) bagi kamu, sembahyang witir, ibadah korban dan sembahyang Dhuha”[1]

Waktu melakukannya ialah dari waktu naik matahari sehingga waktu condong matahari kea rah barat dan pengiraan waktu Dhuha secara astronomi adalah berdasarkan formula waktu Syuruk ditambah dengan satu pertiga perbezaan waktu Syuruk dan waktu Subuh atau secara purata waktu Dhuha bermula 28 minit selepas waktu Syuruk dan ia berakhir setelah masuk waktu Zuhur.

Waktu dhuha ialah diantara setengah jam selepas waktu syuruk hingga setengah jam sebelum waktu zuhur. Boleh dilakukan secara jemaah.

Waktu sembahyang Dhuha ialah dari naik matahari sampai se-penggalah dan berakhir di waktu matahari tergelincir tetapi disunatkan dita’khirkan sehingga matahari naik tinggi dan panas terik.

Cara menunaikannya pula adalah sama seperti sembahyang-sembahyang sunat yang lain iaitu dua rakaat satu salam. Boleh juga dikerjakan empat rakaat, enam rakaat dan lapan rakaat. Menurut sebahagian ulama jumlah rakaatnya tidak terbatas dan tidak ada dalil yang membatasi jumlah rakaat secara tertentu, sebagaimana sebuah hadis yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah bermaksud :”Adalah Nabi SAW bersembahyang Dhuha empat rakaat dan menambahnya seberapa yang dikehedakinya.” (Hadis riwayat Ahmad, Muslim dan Ibnu Majah)



 Doa Waktu Dhuha / Doa Murah Rezeki
اَللَّهُمَّ إِنَّ الضُّحَاءَ ضُحَاؤُكَ، وَالْبَهَاءَ بَهَاؤُكَ، وَالْجَمَالَ جَمَالُكَ، والْقُوَّةَ قُوَّتُكَ، والْقُدْرَةَ قُدْرَتُكَ، وَالْعِصْمَةَ عِصْمَتُكَ، اَللَّهُمَّ إنْ كَانَ رِزْقِيْ فِي السَّمَاءِ فَأنْزِلْهُ، وَإِنْ كَانَ في الأَرْضِ فَأَخْرِجْهُ، وَإِنْ كَانَ مُعَسِّرًا فَيَسِّرْهُ، وَإِنْ كَانَ حَرَامًا فَطَهِّرْهُ، وَإِنْ كَانَ بَعِيدًا فَقَرِّبْهُ، بِحَقِّ ضُحَائِكَ وَبَهَائِكَ وَجَمَالِكَ وَقُوَّتِكَ وَقُدْرَتِكَ، آتِنِيْ مَا آتَيْتَ عِبَادِكَ الصَّالِحِيْنَ.
Maksudnya : Ya Allah, Sesungguhnya waktu dhuha itu dhuhaMu, Kecantikannya kecantikanMu, Keindahannya keindahanMu, Kekuatannya kekuatanMu, Kekuasaannya kekuasaanMu, Perlindungannya perlindunganMu.

Ya Allah, Jika rezeki masih dilangit turunkanlah, Jika dibumi keluarkanlah, Jika sukar permudahkanlah, Jika haram sucikanlah, Jika jauh dekatkanlah.

Berkat waktu dhuha, KecantikanMu, KeindahanMu, KekuatanMu, KekuasaanMu,

Limpahkan kepadaku segala yang telah Engkau limpahkan,  kepada hamba-hambaMu yang soleh.


Adapun kelebihan sembahyang Dhuha itu sepertimana di dalam kitab “An-Nurain” sabda Rasullullah SAW yang maksudnya : “Dua rakaat Dhuha menarik rezeki dan menolak kepapaan."
Dalam satu riwayat yang lain Rasulullah SAW bersabda yang maksudnya : “Barangsiapa yang menjaga sembahyang Dhuhanya nescaya diampuni Allah baginya akan segala dosanya walaupun seperti buih dilautan.”(Riwayat Ibnu Majah dan At-Tirmidzi)
Dan daripada Anas bin Malik Radhiallahu ‘anhu berkata: “Aku mendengar Rasulullah SAW berkata: “Barangsiapa yang mengerjakan sembahyang sunat Dhuha dua belas rakaat dibina akan Allah baginya sebuah mahligai daripada emas”(Riwayat Ibnu Majah dan Tirmidzi)




Kategori...!!!

Pengikut...!!!

Tentang Blog Ini...!!!

Blog ini menceritakan apa-apa sahaja yang bermanfaat tidak kira tentang agama, hal ehwal semasa, pendidikan mahupun teknologi.

  © Blogger template 'External' by Ourblogtemplates.com 2008

Back to TOP